Malaysia sasarkan 70% tenaga boleh baharu pada 2050

BUSAN (Korea): Malaysia, melalui Halatuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) merangka sasaran untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050 dengan memanfaatkan tenaga solar, hidro, hidrogen hijau dan sistem digital untuk pengurusan permintaan tenaga.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, tanpa grid yang kukuh, fleksibel dan moden, matlamat peralihan tenaga tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Transformasi inovatif sistem bekalan elektrik adalah nadi utama peralihan tenaga bersih, katanya semasa mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat 16th Clean Energy Ministerial (CEM16) dan 10th Mission Innovation Ministerial (MI-10) di BEXCO, Busan, Korea.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, Malaysia turut menekankan kepentingan sambungan serantau melalui Grid Tenaga ASEAN sebagai pemacu kepada keselamatan bekalan elektrik.

Dalam dialog peringkat tinggi mengenai tenaga dan kecergasan buatan (AI), Malaysia berkongsi pandangan bahawa AI bukan lagi konsep teori, tetapi realiti yang sedang membentuk cara perancangan, pengurusan dan transformasi sistem tenaga, tegasnya.

AI, tambahnya, mempunyai potensi besar untuk meningkatkan kecekapan, kebolehpercayaan dan ramalan permintaan tenaga, khususnya dalam menguruskan integrasi tenaga boleh baharu.

Pada masa sama, pertumbuhan pesat pusat data dan aplikasi AI menuntut keupayaan bekalan elektrik yang lebih lestari, kata Fadillah.

Malaysia menegaskan bahawa jika diurus secara bertanggungjawab, AI boleh menjadi pemacu kepada peralihan tenaga bersih, manakala tenaga lestari pula menjadi asas kepada pertumbuhan teknologi AI, katanya.

Malaysia, katanya, turut menyokong CEM-MI Agenda for Action yang dilancarkan di Brazil pada tahun 2024 sebagai kerangka penting untuk menggerakkan tindakan kolektif dan mempercepatkan pelaburan dalam infrastruktur tenaga bersih.

Malaysia percaya bahawa kejayaan agenda ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta melalui dasar yang jelas, inovasi teknologi dan pembiayaan lestari, katanya.

Penyertaan Malaysia adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, kesejahteraan dan inovasi demi memastikan masa depan tenaga negara lebih mampan, inklusif serta berdaya tahan.

Beliau mengadakan lawatan kerja ke Korea Hydro & Nuclear Power (KHNP) Saeol Nuclear Power Plant (NPP) site bagi meninjau teknologi keselamatan nuklear terkini.