Pas perjalanan khas laluan Brunei, Sarawak, Sabah

KUCHING: Kerajaan Malaysia dan Brunei akan berbincang mewujudkan pas perjalanan khas bagi memudahkan mobiliti rakyat di sempadan Sarawak, Brunei dan Sabah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pas tersebut mempunyai tempoh masa dan kemungkinan antara dua bulan atau tiga bulan.

“Kaedah pelaksanaan pas perjalanan itu akan diumumkan kemudian selepas perbincangan lanjut di antara kedua-dua kerajaan dimuktamad. Dan pas perjalanan itu untuk laluan Brunei dengan Sarawak termasuk Sabah, kerana Sabah pun sebahagian dari sempadan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kursi Sheikh Othman Sarawak 2025 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, perkara itu dicapai dalam Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia- Brunei ke-26 (ALC Ke 26) di Putrajaya, pagi tadi.