Sebauh menjadi bandar baharu

BINTULU: Pekan Sebauh akan muncul sebagai bandar baharu apabila projek berimpak tinggi siap dilaksanakan dalam masa beberapa tahun akan datang.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, antara projek terbabit ialah gereja dan masjid baharu, mini stadium dan cadangan projek Tebingan Sebauh oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

Dengan adanya kemudahan itu, landskap kemajuan pekan Sebauh akan berubah dengan lebih ketara, katanya selepas merasmikan majlis ringkas penyambungan Jamabatn Batang Kemena (Sebauh) dekat sini hari ini.

Beliau berkata, impian penduduk di sini untuk menjadikan Sebauh sebuah bandar baharu yang berdaya saing, membantu mengurangkan kesesakan di bandar ini sekali gus meningkatkan sosioekonomi penduduknya.

Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata, projek pembinaan Jambatan Batang Kemena di Sebauh kini sudah mencapai 81 peratus siap dijangka dapat digunakan sebelum sambutan Krismas tahun ini.

Jambatan sepanjang 728 meter (m) dengan jajaran jalan sejauh 2.3 kilometer (km) itu merupakan projek penting yang bakal memberi impak besar kepada penduduk Sebauh dan kawasan sekitarnya, tegas beliau.

Menurutnya lagi, pembinaan jambatan itu bukan sahaja meningkatkan tahap kesalinghubungan, malah bakal menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi yang lebih pesat di Sebauh, Binyu, Pandan dan kawasan pedalaman Sebauh.

“Bagi saya yang berasal dari sini, projek ini ibarat ‘game changer’ kerana ia akan membuka lebih banyak peluang pertumbuhan, khususnya dalam sektor pertanian, penternakan dan juga industri kecil serta sederhana,” ujarnya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas atas komitmen memastikan projek-projek yang tertangguh ketika pandemik dapat diselesaikan.