KUCHING: Semua ahli komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) diminta mengenepikan kepentingan peribadi dan kepartian sebaliknya memupuk semangat perpaduan dan kerjasama sebagai satu pasukan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini bagi memastikan gabungan itu terus kuat dan gagah sebagai sebuah parti gabungan yang unggul di Malaysia.
“Semua ahli komponen GPS digesa sama-sama mendukung kesepakatan dan kemuafakatan tanpa mengira kepentingan parti dan individu.
“Pada masa sama, ini akan membolehkan kita menumpukan usaha untuk memajukan Sarawak dan mensejahterakan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini.
Abang Johari berkata, Sarawak telah mencapai banyak kejayaan sepanjang tahun ini atas usaha dan komitmen semua pihak.
Katanya, rakyat Sarawak perlu terus memupuk semangat perpaduan, toleransi, berganding bahu dan berusaha dengan tekun untuk merealisasikan impian menjadi sebuah kuasa ekonomi yang cemerlang menjelang tahun 2030.
“Hanya dengan usaha bersama dan perpaduan dalam kalangan rakyat dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan demi menjamin kesejahteraan masyarakat dan melindungi masa depan generasi yang akan datang.
“Malam tadi, semasa perasmian Global Muslim Business Forum 2023 di BCCK, YAB Perdana Menteri telah mengiktiraf sumbangan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membentuk politik Malaysia yang stabil,” ujarnya.
Katanya, GPS telah menyumbang kepada dua pertiga majoriti kerusi Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan dan ini telah mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan ke arah mewujudkan Malaysia yang stabil, maju dan makmur.
“Ini juga memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.