TYT dijemput ke Sambutan Hari Malaysia, Sambutan Maulidur Rasul

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat bagi sambutan Hari Malaysia dan sambutan Maulidur Rasul di Astana Negeri di sini pagi tadi.

Kunjungan hormat pertama dari rombongan Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia yang diketuai Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap menteri bertanggungjawab sambutan, Dato’ Sri Stephen Rundi Utom.

Ini bagi menjemput Tun Pehin Dr Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Sambutan Hari Malaysia di Lapangan Terbang Lama, Bintulu pada 16 September ini.

TYT turut dijemput menghadiri Majlis Kesyukuran di Masjid Assyakirin, Bintulu pada sebelah petang 15 September ini dan Program Malaysia Day Run di perkarangan Dewan Suarah, Bintulu sebelah pagi 16 September ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan (Laut & Sungai) Sarawak, Dato’ Henry Harry Jinep; Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Gerald Rentap Jabu; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben; Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau; Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPAN), Datu Hamdan Sarbini; Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan; Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti; Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Awam, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Kamarulzaman Kawi; dan Pegawai Kebudayaan Majlis Seni Sarawak, Abang Mohammad Hadi Sapiee.

Seterusnya, Tun Pehin Sri menerima kunjungan hormat rombongan Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1447H/ 2025M yang diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) merangkap menteri bertanggungjawab sambutan, Datuk Abdul Rahman Junaidi.

Ini untuk menjemput Tun Wan Junaidi dan isteri hadir ke Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1447H/ 2025M di Padang Merdeka, di sini, pada 6 September ini.

Mereka juga dijemput menghadiri Majlis Kesyukuran Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1447H/ 2025M di Masjid Jamek Negeri Sarawak di sini pada sebelah petang 4 September ini.

Turut hadir Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha; Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Mual Suaud; Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi dan Pegawai Daerah Kuching, Zaidi Sarkawi. — JAPEN