KKM terima 91 unit ambulans baharu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bakal menerima 91 unit ambulans baharu jenis Type B menerusi kaedah perolehan luar kontrak yang diluluskan Kementerian Kewangan bagi meningkatkan tahap perkhidmatan kecemasan di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata langkah itu dilaksanakan segera kerana majoriti ambulans sedia ada sudah berusia lama, dengan 89.8 peratus daripada 1,975 unit kenderaan berkenaan beroperasi lebih enam tahun.

Beliau menambah, selain 91 unit tersebut, KKM juga telah memulakan proses mendapatkan 925 ambulans baharu mulai 31 Julai lalu.

Bagi mempercepat penghantaran, kementerian menetapkan pembekalan dibahagi mengikut enam zon utama iaitu Sabah/Labuan, Sarawak, Tengah, Selatan, Utara dan Timur.

“Pembekal diberi pilihan sama ada membekalkan dalam bentuk Completely Knocked Down (CKD) atau Completely Built-Up (CBU). Namun, semua tawaran akan melalui penilaian ketat bagi memastikan kualiti dan kesesuaian dengan keperluan kesihatan awam,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata kementerian turut memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman, khususnya di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perak dan Johor, dengan menambah jumlah ambulans pacuan empat roda.

Setakat ini, 46 unit sudah dibekalkan dan jumlah itu akan ditingkatkan dalam perolehan akan datang.

Katanya, KKM turut mengalu-alukan penyertaan syarikat swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyalurkan ambulans tambahan mengikut spesifikasi yang ditetapkan, sekali gus memastikan perkhidmatan kecemasan dapat dilaksanakan tepat pada masanya dan memenuhi keperluan rakyat.