Maulidur Rasul di Gedong bermula

GEDONG: Sambutan Maulidur Rasul (SMR) 1447/2025 Peringkat Daerah Gedong bermula dengan mengadakan beberapa acara menarik yang dipertandingkan di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini.

Antara acara yang dipertandingkan malam tadi ialah tilawah al-Quran, berzanji, zikir marhaban dan nasyid.

Acara pentas ini diadakan selama lima malam berturut-turut di Dewan Datuk Patinggi Ali Gedong, manakala pada hari kemuncaknya iaitu pada siang Ahad akan diadakan acara perarakan kontijen dan sepanduk.

Seramai 39 peserta tilawah al-Quran dan pertandingan berzanji, manakala 22 pasukan menyertai pertandingan zikir marhaban dan pertandingan nasyid.

Acara pertandingan ini juga turut disertai oleh penduduk di kawasan Zon Pangkor yang membabitkan Kampung Lubuk Punggor, Lubok Buntin, Ensenge Melayu dan Kampung Gumpey.

Acara lain ialah pertandingan pendakwah celik atau Daiee Celik, penyampaian khutbah Jumaat dan pertandingan hafazan.

Manakala, acara di lapangan ialan pertandingan hiasan pintu gerbang yang dibina di setiap kampung atau kawasan surau di daerah Gedong.

Hadir meraikan acara pertandingan yang diadakan di pentas Dewan Datuk Patinggi Ali Gedong ialah Pemanca Gedong, Abang Roni Abang Sadeli, Penghulu Adian Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Gedong, Ali Bujang serta ketua-ketua masyarakat yang lain.