KUCHING: Kolej Universiti i-CATS dan Boeing (NYSE: BA) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan pengajian aeroangkasa dan pembangunan bakat di Sarawak.
Perkongsian strategik itu menyokong matlamat Sarawak untuk muncul sebagai hab wilayah aeroangkasa dan industri berteknologi tinggi susulan pengenalan program Kejuruteraan Aeroangkasa i-CATS baru-baru ini.
Di bawah MoU itu, Boeing dan i-CATS akan menerokai peluang kepakaran Boeing dalam bengkel aeroangkasa, sesi ceramah dan pertandingan dianjurkan oleh Kelab Pelajar Aeroangkasa i-CATS.
MoU itu juga menyokong pembangunan dan penyampaian sijil mengikuti kursus dan pengajian eksekutif kelestarian penerbangan, rantaian bekalan, penyelenggaraan dan baikpulih pesawat.
Di samping itu, MoU berkenaan juga akan mengenal pasti rakan kongsi dengan syarikat perindustrian dan institusi pengajian antarabangsa bagi menyokong peluang penyelidikan untuk graduan ijazah sarjana dan lepasan universiti aeroangkasa dan kejuruteraan.
“Boeing komited menyokong matlamat Sarawak membina kelestarian ekosistem aeroangkasa,” kata Presiden Boeing Asia Tenggara, Penny Burtt.
“Melengkapkan pelajar i-CATS dengan sumber STEM dan peluang kemajuan adalah matlamat Boeing bagi membantu membangunkan tenaga kerja dalam sektor penerbangan di Malaysia pada masa depan.
Naib Cancelor Kolej Universiti i-CATS, Profesor Emeritius, Datuk Dr. Mohammad Kadim Suaidi pula berkata, kerjasama dengan Boeing itu mencerminkan komitmen i-CATS untuk melahir pekerja profesional dalam sektor penerbangan.
Beliau berkata, Boeing dan i-CATS meletakkan batu asas untuk Sarawak muncul sebagai hab yang kompetitif dalam pengajian dan penyelidikan aeroangkasa di rantau itu.
