Bukit Saban bakal muncul sebagai hab pertanian moden baharu

BETONG: Kawasan Bukit Saban dijangka muncul sebagai hab pertanian moden baharu dengan pelaksanaan pelbagai projek strategik yang sedang dirancang kerajaan negeri.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, antara inisiatif utama ialah pembangunan Agropark di Spaoh bernilai RM60 juta yang kini dalam peringkat awal pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).

‘’Usaha itu sejajar dengan matlamat untuk memperkukuh sektor pertanian negeri sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk. Projek berkenaan bakal memberi manfaat besar kepada belia dan masyarakat setempat melalui peluang melibatkan diri dalam bidang pertanian secara lebih sistematik dan bernilai komersial,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Betong Development and Development Agency (BDDA) di Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Betong yang membincangkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan, pada Rabu.

Selain Agropark, Uggah berkata tumpuan turut diberikan kepada projek pembangunan padi di Bukit Saban.

Beliau menjelaskan, percubaan penggunaan benih baharu sedang dijalankan bagi meningkatkan hasil padi serta menempatkan kawasan itu sebagai salah satu tapak penanaman utama Sarawak pada masa depan.

‘’Perancangan ini penting bagi memastikan Bukit Saban bukan sekadar memenuhi keperluan penduduk tempatan, malah mampu menyumbang kepada bekalan makanan negeri yang semakin meningkat. Kita mahu kawasan ini melangkah ke hadapan dan berdaya saing dalam menghasilkan produk pertanian,” katanya.