Rumah panjang DUN Jepak terima peruntukan baik pulih PPRS

BINTULU: Sebanyak sembilan pintu dari tiga rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menerima peruntukan dana baik pulih sebanyak RM20,000 setiap pintu.

Peruntukan itu di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan rumah panjang terbabit ialah Rumah Dagang di Jalan Bintulu- Tatau, Rumah Unggang dan Rumah Fabian Jembu, masing-masing di Sungai Setiam, Jalan Pesisir Kuala Tatau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, di Rumah Dagang, terdapat satu pintu memerlukan baik pulih pada bahagian bumbung.

“Di Rumah Unggang pula, lima pintu perlu dibaiki termasuk struktur bumbung, siling dan pembinaan tandas baharu. Manakala di Rumah Fabian, beberapa pintu turut disenaraikan bagi kerja baik pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan bersama Pejabat Daerah Bintulu, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) serta wakil masyarakat ke tiga rumah panjang terbabit.

Menurut Iskandar, PPRS berbeza dengan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) kerana PPRS khusus menumpukan baik pulih rumah panjang dan kampung dengan jumlah peruntukan lebih besar.

Beliau menggesa ketua kaum dan tuai rumah agar segera melaporkan kerosakan rumah panjang kepada Pejabat Daerah atau Pusat Khidmat N67 Jepak supaya tindakan dapat diambil.