SSLR Fasa Dua bakal dirasmi 11 September ini

KUCHING: Projek mega Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) Fasa Dua bakal dirasmikan pada 11 September ini di Limbang.

Perasmian itu sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan rangkaian jalan raya strategik di utara Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, majlis itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

‘’Tarikh berkenaan juga menandakan setahun sejak Surat Setuju Terima (SST) diserahkan kepada syarikat pelaksana projek,’’ katanya selepas merasmikan Sarawak Facility Management Industry Engagement Day 2025 di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, SSLR fasa dua itu akan menghubungkan Lawas ke Limbang seterusnya ke Mulu tanpa perlu melalui Brunei Darussalam.

Projek ini amat signifikan kerana ia memendekkan masa perjalanan serta memperkukuh ekonomi tempatan melalui jaringan logistik yang lebih cekap, katanya.

Dalam masa sama, Nanta memberi jaminan kualiti jalan raya di Sarawak berada pada tahap baik. Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa melakukan pemantauan terhadap infrastruktur, manakala Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memastikan piawaian pembinaan sentiasa dipatuhi.

Beliau menambah, CIDB juga sedang menjalankan misi ke luar negara bagi meneliti amalan pembinaan bertaraf tinggi termasuk projek tenaga nuklear, agar kontraktor tempatan lebih bersedia mengendalikan projek mega dengan standard antarabangsa pada masa depan.