Sambutan Maulidur Rasul serlahkan keharmonian masyarakat majmuk

KUCHING: Sambutan Maulidur Rasul di Masjid India Bandar Kuching sekali lagi menyerlahkan keharmonian masyarakat majmuk apabila umat Islam daripada pelbagai latar belakang bergabung menjayakan acara tahunan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sambutan tersebut bukan sahaja menzahirkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, malah memperlihatkan nilai kasih sayang dan rahmat yang mendasari kehidupan bermasyarakat.

“Pengisian program membuktikan usaha penganjur mahu memastikan sambutan Maulidur Rasul terus relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah anjuran Masjid India Bandar Kuching, malam tadi.

Tradisi menyajikan nasi talam, misalnya, menjadi lambang kebersamaan yang bukan sahaja menarik perhatian pengunjung, malah memperkukuh semangat ukhuwah sesama umat Islam, katanya.

Katanya, keadaan tersebut selari dengan nilai-nilai Piagam Madinah yang menekankan toleransi, saling menghormati serta tolong-menolong dalam masyarakat berbilang kaum.

Sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah lebih istimewa dengan penganjuran pelbagai aktiviti, antaranya pertandingan zikir, hafazan, bercerita serta mewarna bagi murid sekolah rendah, di samping penulisan khat untuk pelajar sekolah menengah.

Program turut disemarakkan dengan bacaan zikir malam, ceramah perdana dalam bahasa Tamil, kuliah agama dan tazkirah Jumaat yang mengisi ruang kerohanian masyarakat sepanjang tempoh penganjuran.