Dana pembiayaan antara cabaran laksanakan grid tenaga Borneo

KUCHING: Mencari dana pembiayaan adalah antara cabaran utama bagi menjayakan grid tenaga Borneo untuk membekalkan tenaga ke negara-negara ASEAN, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, di samping itu untuk menyediakan tenaga kerja mahir dan pakar dalam melaksanakannya juga merupakan satu lagi cabaran.

“Justeru, Bank Pembangunan Asia menyatakan kesediaan menyediakan dana untuk tujuan tersebut, tetapi masih belum mencukupi, katanya semasa Forum Kelestarian dan Tenaga Diperbaharui (SAREF) 4.0 di sini hari ini.

Menurut Fadillah, pelaksanaan grid tenaga Borneo sahaja memerlukan lebih RM2.5 bilion manakala grid tenaga ASEAN memerlukan dana lebih RM50 bilion.

Fadillah berkata, ini akan mewujudkan satu ekonomi baharu untuk ASEAN, Sarawak dan Borneo.

Sehubungan itu, beliau yakin grid tenaga ASEAN itu boleh dilaksanakan apabila banyak negara Eropah, Jepun, Korea dan China sanggup melabur bagi menjayakannya di samping negara-negara ASEAN sendiri.

Fadillah menjelaskan, Borneo akan menjadi hab tenaga ASEAN apabila Kalimantan, Indonesia, merancang membina lebih banyak empangan hidro untuk menjana tenaga yang boleh dibekalkan ke negara-negara ASEAN.

“Bagi Sarawak sendiri, tenaga hidro yang dihasilkan telah melebihi keperluan domestik dan kini merancang untuk menghasilkan lebihan tenaga menggunakan kuasa solar, biomass dan hidrogen.

“Dicampurkan penghasilan tenaga dari Kalimantan inilah yang membolehkan Bonreo muncul sebagai hab tenaga ASEAN,” tegas beliau.

ASEAN akan mendapati lebih mudah untuk beralih kepada tenaga diperbaharui apabila mendapat bekalan tenaga dari Borneo, katanya dan menambah, persediaan sekarang adalah untuk melatih modal insan bagi menghadapi cabaran itu.

Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi dan Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili. SAREF 4.0 itu menghimpunkan 1,000 peserta daripada pelbagai negara yang terdiri daripada pakar, cendekiawan, pemegang taruh dan pelabur.