Pelajar Sarawak sertai Pertandingan Malaysia Rocket CanSat 2025 di Perak

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menyokong perjalanan pelajar wakil Sarawak ke Pertandingan Malaysia Rocket CanSat 2025 di Felcra Seberang Perak, di Perak, dari 2 hingga 4 September ini.

Menurut kenyataan media TEGAS, pertandingan anjuran Universiti Teknologi Mara ( UiTM) HEMREL dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu menghimpunkan seramai 700 peserta daripada 68 pasukan di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.

“Wakil Sarawak adalah pemenang tiga terbaik Cabaran Sarawak Rocketeers CanSat, inisiatif yang diperkenal TEGAS Jun lalu sebagai pertandingan reka bentuk dan binaan roket dan satelit pertama di negeri ini,” menurut kenyataan TEGAS.

Sokongan itu membolehkan bakat muda dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tapang, Sekolah Menengah Seni Sarawak dan SMK Penrisen mempamerkan kemahiran dan inovasi pada pertandingan itu.

Terdapat dua kategori iaitu Pelancaran Roket 1KM dan Pertandingan CanSat.

Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang TEGAS untuk memupuk bakat digital dan menyediakan generasi inovator seterusnya untuk ekonomi digital Sarawak.