26 kontinjen sertai perarakan sambutan Maulidur Rasul Saratok

SARATOK: Sebanyak 26 kontinjen menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Saratok di sini, hari ini.

Perarakan yang bermula sekitar jam 7.30 pagi dari Pentas Utama Sri Kalaka itu diiringi laungan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebelum melalui laluan Kampung Masjid Hilir, Kampung Tanjung, Kampung Bunga Raya, Kampung Lot Wawasan, Kampung Melango Lama, Kampung Melango Baru dan berakhir di Masjid Lama Saratok.

Penyertaan kontinjen melibatkan tiga kategori iaitu Kategori A (jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta), Kategori B (institusi pendidikan dan sekolah) serta Kategori C (persatuan, kelab, NGO, masjid, surau dan JKKK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri dalam ucapannya menggesa masyarakat Saratok memperkukuh ukhuwah Islamiah serta memelihara perpaduan demi kesejahteraan bersama.

Tema Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak adalah ‘Ummah Maju Makmur’ menekankan aspirasi kerajaan negeri untuk melihat umat Islam terus maju dan mencapai kemakmuran, seiring kemajuan negeri secara keseluruhan, katanya.

Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Saratok (LAKIS), agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan semua kontinjen perarakan yang menjayakan sambutan berkenaan.