KUCHING: Tahniah kepada Dayang Nur’ Maisarah Abang Abdul Razak yang dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kategori Belia Harapan Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M yang berlangsung hari ini.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan belia.
Dayang Nur’ Maisarah, yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Sarawak, berasal dari Satok, Kampung No.6, Kuching.
Beliau merupakan graduan dalam bidang Perundangan Islam dari Universiti Melaka dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang di Universiti Islam Selangor (UIS).
Selain aktif mengetuai pelbagai inisiatif strategik memperkasa belia Islam, beliau pernah menerima pelbagai anugerah peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa termasuk :
• Anugerah Maal Hijrah Kategori Belia (2023) daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
• Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Kebangsaan (2021) daripada mantan Perdana Menteri (kelapan), Tan Sri Mahiaddin Yassin
• Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Negeri Sarawak (2020).
• Anugerah Ikon Belia Sarawak (2019).
• Anugerah Ikon Varsiti (Above and Beyond) Youth Award (2021).
• Anugerah Pembentang Terbaik dan Anugerah Kertas Kerja Terbaik di International Colloquium Syariah and Law, Universiti Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam (2018).
Anugerah yang diterima ini sekali lagi membuktikan bahawa semangat juang anak muda dalam menyebarkan syiar Islam serta menyumbang kepada pembangunan ummah terus mendapat perhatian dan penghargaan negara.
Kisah kejayaan beliau menjadi inspirasi buat generasi belia untuk terus melakar kecemerlangan di persada dunia.
