Amalkan toleransi tinggi antara agama di Sarawak

KUCHING: Umat Islam di Sarawak diseru menjunjung tinggi keharmonian dan mengamalkan toleransi yang tinggi dalam hubungan antara agama.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dalam hubungan antara agama, Rasulullah SAW mengajar mereka bahawa melindungi hak dan maruah penganut agama lain adalah sebahagian daripada ajaran Islam.

Katanya sehubungan itu, umat Islam di Sarawak hendaklah menjunjung tinggi keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan negeri ini.

“Islam menganjurkan toleransi yang tinggi dalam hubungan antara agama. Islam tidak memaksa kepercayaan, bahkan melindungi gereja dan biara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1447H/ 2025M di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Tema sambutan pada tahun ini ‘Ummah Maju Makmur’.

Tun Dr Wan Junaidi menjelaskan, Sarawak adalah model perpaduan kaum dan keharmonian agama di Malaysia dengan pendekatan moderat, saling menghormati dan pemikiran terbuka telah menjadi asas perpaduan Sarawak.

“Wilayah ini dibangunkan atas semangat muafakat antara agama dan etnik. Tiada isu perkauman besar, sambutan pelbagai agama diraikan bersama dan kepimpinan negeri yang inklusif,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata dalam dunia digital yang pantas berubah, umat Islam tidak boleh tertinggal.

“Marilah kita bersatu, membina kemahiran baharu, dan memanfaatkan teknologi untuk menjadikan Sarawak berdaya saing dan progresif,” katanya.

Beliau juga mahu melihat umat Islam di Sarawak bangkit sebagai pembaharu dan bukan pengikut semata-mata serta menjadi pencetus idea, pemikir strategik dan penggerak perubahan.