LUNDU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sematan menerima peruntukan berjumlah RM500,000 bagi tujuan menaik taraf kemudahan sekolah tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang mengumumkan peruntukan itu untuk membaik pulih Dewan SMK Sematan dengan kerja pemasangan siling baharu serta membaiki gelanggang sukan.
“Saya mahu pastikan anak-anak pelajar mendapat persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penangguhan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Sarawak fasa empat di sekolah terbabit, semalam.
Billy turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM950,000 untuk SMK Lundu dan RM5 juta lagi diperuntukkan bagi kerja-kerja ubah suai dan naik taraf SK Sebako.
Program KMJG 2025 di sini turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pelajar serta komuniti setempat dalam konvoi membawa Jalur Gemilang ke beberapa lokasi sekitar daerah itu.
Lebih 40 kenderaan turut serta dalam konvoi berkenaan yang turut disertai Billy sejak awal pagi, bermula di Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lundu sebelum berakhir di SMK Sematan.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga wakil kepada ADUN Tanjung Datu, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup; Wakil Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Sarawak, Hairol Hisham Hamdan; Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusof Awang Mostapha; Ketua Polis Daerah Lundu, Sudirman Kram; Pengetua SMK Sematan, Milton Junde. – JAPEN
