Dasar PD diperkenal bantu pesakit buah pingang luar bandar dapat rawatan

KUALA LUMPUR: Dasar Peritoneal Dialysis (PD) First diperkenal Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memudahkan pesakit buah pinggang, terutama di luar bandar, mendapat rawatan lebih mudah dan konsisten.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, dasar fleksibel itu mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap pusat hemodialisis di bandar utama.

“Di Belaga misalnya, pesakit perlu menempuh perjalanan hampir empat jam ke Bintulu untuk rawatan. Jika ada bekalan air bersih dan ruang sesuai, rawatan PD boleh dijalankan di kawasan berkenaan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Menurutnya, pendidikan mengenai aspek kebersihan amat penting supaya pesakit dapat melaksanakan rawatan kendiri itu di rumah dengan lebih teratur dan selamat.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan dasar berkenaan masih belum mendapat sokongan penuh sektor swasta kerana ketiadaan insentif yang bersesuaian.

Sehubungan itu, Lukanisman menyeru penglibatan syarikat swasta, GLC dan GLIC dalam penyediaan kemudahan, peralatan rawatan serta sokongan latihan kepakaran untuk petugas kesihatan dalam bidang nefrologi.

GAMBAR: JAPEN