Diploma Teknousahawan MARA bantu usahawan muda jana pendapatan

KUALA LUMPUR: Program Diploma Teknousahawan anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) bukan sahaja melahirkan usahawan muda, malah berjaya menjana nilai jualan lebih RM120.8 juta sejak diperkenal 2016.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kejayaan itu membuktikan pendidikan teknikal mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi melalui penyediaan peluang pekerjaan baharu.

“Contoh jelas dapat dilihat di IKM Seberang Perai Utara apabila 28 usahawan dalam bidang elektrik berjaya mencatatkan nilai jualan RM45.1 juta serta mewujudkan 121 peluang pekerjaan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Rubiah, tujuh bidang utama ditawarkan dalam program diploma berkenaan termasuk elektrik, fesyen, fabrik, perabot, landskap dan penyaman udara yang kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan belia.

Katanya, peserta program diwajibkan mendaftar perniagaan sendiri dan prestasi mereka dinilai berdasarkan pencapaian jualan, menjadikannya berbeza daripada sistem akademik tradisional.

KKDW, jelas beliau, komited memastikan lebih ramai belia mampu menguasai bidang teknikal dan keusahawanan sekali gus menjadi tenaga penggerak ekonomi baharu negara.

GAMBAR:JAPEN