KUCHING: Sarawak Delta Geopark melepasi saringan awal dalam usaha untuk mendapat pengiktirafan UNESCO setelah berjaya mendapatkan status kad hijau (ACCEPTED) daripada Mesyuarat ke-10 UNESCO Global Geoparks Council di Temuco, Chile baru-baru ini.
Berita gembira itu dikongsikan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh sambil berkata, ia pencapaian besar bukan sahaja bagi Sarawak, malah Malaysia keseluruhannya.
“Dalam mesyuarat majlis tersebut, mereka menerima permohonan kita bagi Sarawak Delta Geopark, tempat anda berada sekarang, untuk diterima sebagai ‘inspired UNESCO Global Geopark’.
“Bersama-sama dengan satu lagi di Semenanjung Malaysia, iaitu Lenggong, ini bermakna kita mempunyai dua calon yang telah berjaya melepasi saringan pertama,” katanya semasa Persidangan Sains dan Teknologi Alam Semula Jadi Kali Ke-2 (NaSTeC 2025), di sini, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua geopark berkenaan akan dibawa untuk pengesahan di Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO Global Geopark yang dijadualkan berlangsung di Paris pada Mei tahun depan.
Len menjelaskan, sebanyak sembilan geopark baharu diluluskan dalam mesyuarat kali ini, manakala 61 geopark secara keseluruhan dibincangkan.
Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha pemuliharaan alam semula jadi serta pembangunan mampan wilayah ini. – UKAS
