KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) komited dalam usaha memperkasakan penyelidikan biodiversiti dan kelestarian menerusi Persidangan Sains dan Teknologi Alam Semula Jadi Kali Ke-2 (NaSTeC 2025).
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, penganjuran persidangan antarabangsa seumpama ini secara langsung akan mendokong penyelidikan, pembangunan, dan inovasi dalam usaha mencapai aspirasi menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, hijau dan digital.
Menurutnya, ia bertepatan dengan keadaan dunia hari ini yang berdepan cabaran kompleks seperti kekurangan makanan dan air, perubahan iklim, kehilangan biodiversiti serta ancaman kesihatan awam yang memerlukan pendekatan bersepadu.
“Saya percaya UNIMAS serius dalam meningkatkan kedudukan global Malaysia, khususnya dalam pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar melalui inisiatif Biodiversity Nexus.
“NaSTeC 2025 mencerminkan komitmen ini dengan mengetengahkan penyelidikan antara disiplin, pemikiran inovatif dan kerjasama strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh sempena NaSTeC 2025, di Kuching hari ini.
Turut menyampaikan ucapan ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr Ahmad Hata Rasit.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menambah, Sarawak bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi, pengetahuan tradisional dan warisan budaya, tetapi juga mempunyai cita-cita besar untuk bertransformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan berdaya saing.
Dalam konteks ini, beliau memuji peranan UNIMAS yang dilihat strategik dalam merealisasikan agenda tersebut menerusi penganjuran Borneo Satellite Network (BoSaN) Symposium, 5th ASEAN Sago Symposium (ASAS), dan 2nd Regional Conference on Natural Products, Traditional Medicines and Herbs serta Festival of Ideas. – UKAS
