Kemudahan kesihatan Betong dinaik taraf

BETONG: Beberapa projek naik taraf dan pembinaan baharu kemudahan kesihatan dirancang di bawah dana Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Ia bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang optimum kepada masyarakat di Betong.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, antaranya peruntukan RM14.5 juta untuk menaik taraf fasiliti Klinik Kesihatan Mid Layar serta pembinaan tiga pusat hemodialisis baharu di Spaoh, Beladin dan Kabong yang bernilai RM15 juta.

Katanya, Klinik Kesihatan Spaoh lama yang uzur akan diganti dengan klinik baharu bernilai RM36 juta hasil gabungan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan BDDA.

Malah katanya, Hospital Betong juga akan diberi perhatian khas kerana kemudahan sedia ada perlu dinaik taraf bagi menampung keperluan rakyat.

“Dasar Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa memberi perhatian serius terhadap kesihatan rakyat di luar bandar selain pembangunan sektor pertanian dan pendidikan,” jelasnya.

Uggah berkata demikian ketika berucap pada Program PETRONAS Memacu Kehidupan: Majlis Penyerahan Keperluan Perubatan Asas kepada Klinik Kesihatan Nanga Tiga, Layar, Betong, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas sumbangan keperluan perubatan asas yang disifatkannya amat bermakna dalam usaha menambah baik kemudahan perubatan di luar bandar.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) yang menyumbang RM5,000 kepada Klinik Kesihatan Nanga Tiga.