PONTIANAK: Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak menganjurkan Persidangan Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) ke-16.
Menurut kenyataan media UiTM Cawangan Sarawak, perasmiannya disempurnakan Direktur Pendidikan Tinggi Keagamaan Islam Republik Indonesia Prof. Dr. Phil. Sahiron Syamsudin M.A, yang mewakili Menteri Agama Republik Indonesia di Pendopo Gubernur Kalimantan Barat, Kota Pontianak, di sini, Selasa lalu.
Persidangan ini berlangsung sehingga hari ini dengan pelbagai pengisian seperti seminar, diskusi panel dan pameran budaya.
“Acara ilmiah berprestij ini menghimpunkan tokoh akademik, pemimpin institusi pendidikan serta peserta dari pelbagai negara,” menurut kenyataan itu.
Selain Sarawak, Sabah, Bintulu, Brunei Darussalam, Filipina dan Jerman turut menghadiri persidangan antarabangsa itu.
Persidangan itu bertemakan “Perdamaian Dunia, Krisis Lingkungan Hidup, dan Dialog Antara Peradaban Gelombang Kedua”.
Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah dan Konsul Malaysia di Pontianak, Azizul Zekri Abdul Rahim antara yang hadir.
