KUCHING: Detik bersejarah pembebasan Sarawak daripada pendudukan Jepun Semasa Perang Dunia Kedua diabadikan pada monumen yang dibina khas di Pending Point, Kuching.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, monumen itu dibina sempena ulang tahun ke-80 pembebasan Sarawak daripada pendudukan Jepun 11 September 1945, di lokasi bersejarah yang menjadi saksi penyerahan rasmi tentera Jepun kepada Brigedier-Jeneral Thomas Eastick daripada Tentera Australia.
Beliau berkata, monumen tersebut melambangkan penghargaan kepada tentera bersekutu dari Australia, Britain, New Zealand, Kanada serta pejuang tempatan dan rakyat Sarawak yang menanggung penderitaan sepanjang lebih tiga tahun pendudukan Jepun.
“Monumen ini adalah janji bahawa pengorbanan mereka tidak akan dilupakan.
“Ia juga menjadi peringatan bahawa keamanan dan kebebasan yang kita nikmati hari ini perlu dipertahankan dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya pada majlis perasmian monumen itu hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) kerana merealisasikan pembangunan monumen ini.
Ia bukan sahaja memelihara sejarah, malah berfungsi sebagai pusat pendidikan warisan serta tarikan pelancongan.
Dr. Sim menegaskan, monumen ini akan terus mengingatkan masyarakat bahawa keamanan, kebebasan dan keselamatan tidak datang dengan mudah, sebaliknya menuntut keberanian, kebijaksanaan dan perpaduan untuk dipelihara. – UKAS
