Teknologi pertanian moden bantu perkasakan petani Daro

DARO: Penganjuran Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) 2025 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro menjadi wadah penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat tani terhadap amalan pertanian moden.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, pendekatan pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik mampu menghasilkan tanaman berkualiti tinggi dengan kos yang lebih efisien serta berpotensi dilaksana sama ada skala kecil atau besar.

“Saya berharap peserta memanfaatkan ilmu melalui kursus ini untuk mempertingkatkan pendapatan isi rumah serta membuka peluang pekerjaan kepada anak muda,” katanya semasa majlis perasmian program tersebut di Dewan Kampung Tebaang, di sini semalam.

Safiee berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan penuh kepada masyarakat tani untuk meningkatkan hasil pertanian seiring dengan teknologi terkini,” katanya.

Program anjuran Jabatan Pertanian Sarawak, Daerah Daro itu memberi tumpuan kepada Kursus Fertigasi dan Hidroponik yang memperkenalkan teknik tanaman moden, penggunaan sistem nutrien berkesan serta kaedah tanaman tanpa tanah.