Lawatan penanda aras perkukuh sistem pentadbiran Kerajaan Sarawak

SINGAPURA: Delegasi Kerajaan Sarawak mengadakan lawatan penanda aras di sini, dari 31 Ogos hingga 4 September lalu.

Menurut kenyataan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Jabatan Premier Sarawak, Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Khas Kabinet (CABCOM) Mengenai Laporan Penyata Kewangan dan Anggaran Belanjawan Tahunan Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan telah mengadakan lawatan terbabit.

Delegasi diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) yang juga pengerusi jawatankuasa, Dato’ Dr Juanda Jaya.

“Lawatan juga disertai Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Bandaraya Miri,” menurut kenyataan itu.

Lawatan itu bertujuan mendapatkan pendedahan terhadap amalan terbaik tadbir urus sebagai rujukan dalam memperkukuhkan sistem pentadbiran Kerajaan Sarawak.

“Lawatan penanda aras ini membantu jawatankuasa dalam memahami model tadbir urus setiap agensi yang dilawati.

“Pada masa sama, meneliti pendekatan agensi dalam meningkatkan kecekapan operasi yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan kepada agensi di Sarawak,” katanya.

Selain itu, sesi perkongsian dan jaringan bersama delegasi turut diadakan dengan kehadiran Presiden Association of Small & Medium Enterprise (ASME), Ketua Eksekutif SATS-Creuers Cruise Services (SCCS) dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Trade and Tourism Co. Pte. Ltd (STATOS) bersama pegawai kanan agensi masing-masing.