LIMBANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kagum corak pucuk kepimpinan negeri ini sehingga masyarakat dunia mengenali Sarawak sebagai sebuah negeri terus membangun berbanding 50 tahun lalu.
Dengan corak kepimpinan yang berpandangan jauh dan rakyat hidup bersatupadu, beliau yakin Sarawak terus melangkah ke hadapan sebagai gergasi dalam pembangunan tenaga baharu di dunia.
“Apabila saya pergi ke Geneva, Paris, Jepun, orang berbicara Sarawak sebagai gergasi baharu di rantau ini,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Peluncuran Jalan Perhubung Sarawak-Sabah 2 (SSLR2) di Mendamit di sini hari ini.
Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak serta dif-dif kenamaan.
Anwar menambah, beliau turut kagum dengan visi ke hadapan Sarawak, malah turut menjemput Abang Johari berkongsi pandangan berkenaan pembangunan bersama negeri lain.
“Ada mesyuarat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri seluruh Malaysia yang dipengerusikan saya sendiri, saya menjemput Premier Sarawak berkongsi bagaimana pandangan ke hadapan beliau. Kerana ada negeri yang asyik minta sahaja. Tetapi idea tidak ada.
“Esok saya juga merasmikan teknologi baharu di Kuching. Lihat bagaimana Sarawak ke depan daripada negeri lain,” tambahnya lagi.
Pada majlis sama, Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM11 juta bagi pembinaan klinik di Mendamit yang terdahulu dipohon Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.
Projek SSLR Fasa 2 dengan nilai kontrak berjumlah RM7.15 bilion dimulakan 24 Jun 2024 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun, iaitu pada 23 Jun 2029.
Projek ini merangkumi pembinaan jalan baharu sepanjang lebih 335 kilometer (KM) yang melibatkan laluan Mulu ke Long Seridan (65KM), Long Seridan ke Nanga Medamit (108KM), Long Luping ke Long Komap di Ba’Kelalan (63KM) dan Rumah Aling ke Long Luping (99KM).
