Kerjasama erat Kerajaan Persekutuan, Sarawak pacu pembangunan ASEAN

LIMBANG: Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak menjadi titik penting kepada kemajuan dan pembangunan Bumi Kenyalang, malah menyumbang kepada pembangunan ASEAN.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 yang menghubungkan Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam juga menjadi faktor penting kepada usaha itu.

“Ini adalah perhubungan yang sangat penting. Dalam kita membangunkan kawasan ASEAN ini. Kebetulan Perdana Menteri kita adalah Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

“Ini sumbangan kita kepada ASEAN. Maknanya tiga wilayah di Borneo ini. Brunei, Sabah dan Sarawak dihubungkan dengan jalan yang baik,” katanya semasa Majlis Peluncuran SSLR Fasa 2 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak serta dif-dif kenamaan.

Tambahnya, dengan kerjasama yang erat di antara pemimpin Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, perkhidmatan yang lebih baik dapat diberikan kepada rakyat.

“Satu lagi yang perlu kita bangunkan di utara Sarawak iaitu bekalan air dan elektrik.

“Sarawak telah memberikan peruntukan untuk bekalan air dan elektrik. Dengan adanya jalan raya yang baik, maka kegiatan ekonomi kita, sektor pertanian dan pelancongan akan terus dimantapkan lagi. Inilah disebut kerjasama yang erat di antara kedua-dua kerajaan,” ucapnya lagi.