Utara Sarawak terus dibangun dengan jalan baharu

LIMBANG: Kerajaan Sarawak akan terus membangunkan jalan-jalan baharu di kawasan utara negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antaranya jalan pesisir menghubungkan negeri ini dengan Sabah dan negara jiran Brunei.

“Jalan pesisir itu juga akan menghubungkan Miri hingga ke Lawas dan Sabah.

“Kita juga akan membangunkan jalan dari Marudi Baram hingga ke Mulu, yang akan dihubungkan dengan jalan SSLR yang dibangunkan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Majlis Peluncuran Projek Jalan Penghubung Sarawak Sabah Fasa 2 (SSLR2) di Pekan Nanga Medamit, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah serta dif-dif kenamaan lain.

Abang Johari menjelaskan, turut dibangunkan di utara Sarawak adalah bekalan elektrik dan air supaya kegiatan ekonomi termasuk sektor pelancongan dan sektor pertanian akan dimantapkan lagi.