LIMBANG: Projek Jalan Perhubung Sarawak-Sabah 2 (SSLR2) akan meningkatkan jaringan pengangkutan dan infrastruktur yang menjadi tulang belakang pembangunan ekonomi dan sosial di kedua-dua negeri.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, SSLR2 itu juga merupakan usaha yang penting dalam mengukuhkan hubungan antara Sarawak dan Sabah.
“Jalan itu juga akan membuka peluang pelaburan, memacu pembangunan luar bandar, serta memupuk integrasi dan perpaduan di antara komuniti yang berbilang kaum dan budaya di Malaysia Timur,” katanya dalam ucapan aluan pada majlis Peluncuran SSLR2 di Nanga Medamit di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak,
Ir. Dr. Cassidy Morris serta tetamu kenamaan lain.
Majlis Peluncuran jalan dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM7.6 bilion itu.
SSLR2 merupakan projek kesinambungan kepada projek SSLR Fasa 1 di Lawas yang dimulakan pelaksanaan pada 2021 dan kini telah mencapai kemajuan 57.6% sehingga Julai 2025, katanya.
Beliau juga yakin SSLR2 itu turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan serta memperkukuh kedudukan Malaysia Timur sebagai hab utama yang dinamik dan maju.
“Inilah manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada kemudahan dan peluang pembangunan,” tegas beliau.
Menurutnya, SSLR2 merupakan antara projek mega yang diamanahkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada KKR dan melibatkan kawasan Miri, Limbang, Lawas dan Ba’kelalan.
Mengambil kira jumlah jajaran projek sepanjang 335 kilometer (km) dan bagi memastikan kualiti pembinaan serta tempoh masa projek dipatuhi, katanya, pelaksanaan projek itu dibuat secara berpakej dan Pakej 2B bermula dari Long Napir ke Nanga Medamit.
“Majlis ini bukan sahaja melambangkan perasmian sebuah projek infrastruktur, tetapi juga simbol iltizam kerajaan untuk membina masa depan yang lebih makmur dan inklusif buat rakyat,” tambahnya.
