KUCHING: Dengan mengamalkan dasar mesra perniagaan dan meningkatkan pembangunan infrastruktur, Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di sini berjaya menarik pelaburan domestik dan luar negeri bernilai RM15.4 bilion.
Premier Sarawak, Datuk Patnggi Tan Sri Abang Johri Tun Openg berkata, pemgembangan Pusat Bersepadu Kemajuan Chip SMD di kawasan 10 ekar di Taman Perindustrian Sama Jaya merupakan satu daripada inisiatif utama Halatuju Semikonduktor Sarawak 2030.
Pengembangannya diusahakan oleh SMD Semiconductor Sdn Bhd, sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) milik penuh Kerajaan Sarawak, katanya berucap pada majlis pembukaan rasmi pembesaran bangunan X-FAB Sarawak di sini, hari ini.
Majlis perasmian bangunan 40,000 FAB itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kenamaan lain.
Beliau berkata, SMD Semiconductor Sdn Bhd juga diamanahkan melatih tenaga kerja dan membangunkan ekosistem semikonduktor di negeri ini.
Halatuju Semikonduktor Sarawak 2030 dirumuskan dengan lima tujuan utama iaitu menarik pembiayaan lebih RM2 bilion melalui pelaburan sektor awam dan swasta dan mewujudkan kerjasama strategik dengan lebih 10 pemimpin industri di peringkat global, tegas beliau.
Manakala, tiga lagi, tambahnya, bertujuan mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, mengkomersial barangan intelektual (IP) baharu dan melatih 3,000 graduan tempatan melalui inisiatif pembangunan bakat.
Menurut Premier Sarawak, perluasan terbaharu kapasiti pengeluaran X-FAB berharga RM3 bilion itu merupakan kejayaan kepada syarikat terbabit dan peranan Kerajaan Sarawak dalam membangunkan ekosistem semikonduktor di peringkat glogal.
Beliau berkata, ini menandakan satu lagi langkah ke hadapan meningkatkan pengeluaran bulanan wafer X-FAB Sarawak daripada 30,000 wafer sebulan kepada 40,000 wafer sebulan.
Rancangan masa depan yang sudah tersedia ialah untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran kepada 50,000 wafer sebulan, katanya.
Peningkatan pengeluaran itu akan menyokong lebih banyak aplikasi daripada teknologi automotif dan perubatan kepada sistem perindustrian dan komunikasi dan barangan pengguna.
Ini adalah sektor penting untuk mencorak gaya hidup moden dan akan mengharumkan Sarawak kerana komponennya dikilangkan di Kuching yang memacu dan menyelesaikan masalah dan inovasi yang digunakan di dunia.
Beliau berkata, 98 peratus tenaga kerja di X-FAB Sarawak adalah rakyat Malaysia dengan 95 peratus daripadanya adalah anak Sarawak.
Kilang terbabit adalah pemacu ekonomi kerana mewujudkan lebih 15,000 pekerjaan.
Beliau menegaskan, Sarawak akan terus menyediakan suasana kondusif bagi pelaburan berimpak tnggi di samping fokus kepada pembangunan infrastruktur, modal insan, bekalan tenaga dan inovasi.
Dengan sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan, beliau yakin Sarawak akan muncul sebagai salah satu daripada negeri yang akan membangunkan semikonduktor negara.
Komitmen Sarawak dalam membangunkan infrastruktur, pembangunan bakat, tenaga bersih dan berkemampuan dan transformasi digital adalah sebahagain daripada stratagi untuk memastikan Sarawak sebagai destinasi pilihan kemajuan pengilangan di rantau ini.
