Sarawak bantu naik taraf Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia membantu menaik taraf Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya, di sini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kompleks tersebut perlu dinaik taraf mengambil kira lokasinya yang strategik di laluan projek-projek pembangunan dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Beliau berkata, ini termasuk pembesaran jalan raya, pemasangan lampu isyarat digital dan pembinaan jalan laluan Transit Aliran Autonomi (ART).

“Jika ada hasrat untuk menaik taraf, maka kerajaan negeri akan memberi bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Kerja-Kerja Mengecat Kompleks Perumahan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Tabuan Jaya dan Penyerahan Kenderaan Pacuan Empat Roda Kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak di komplek tersebut hari ini.

Tambah Premier, sumbangan sebanyak RM5 juta daripada kerajaan negeri telah digunakan bagi kerja-kerja mengecat dan empat kenderaan pacuan empat roda terbabit.

Beliau juga mengumumkan untuk memberikan tambahan peruntukan baharu bagi mencantikkan bungalow pegawai-pegawai polis bagi meningkatkan lagi imej kompleks tersebut.

Ketika ditemui media, Abang Johari berkata pihaknya juga telah mencadangkan kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata serta pegawai atasan polis dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk meningkatkan stesen-stesen polis di Sarawak.