PUTRAJAYA: Delegasi rasmi Malaysia diketuai Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof akan mengadakan lawatan kerja ke Republik Rakyat China (RRC) mulai 16 hingga 23 September ini.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan medianya hari ini berkata, delegasi tersebut akan menghadiri undangan Ekspo China-ASEAN Ke-21 (CAEXPO) di Nanning, Guangxi, sebuah platform perdagangan dan pelaburan serantau berprestij yang menghimpunkan pemimpin ASEAN dan China.
“Penyertaan Malaysia dalam CAEXPO 2025 akan memperkukuh peranan negara sebagai penyelaras hubungan Dialog ASEAN–China (2024–2027), di samping membuka ruang baharu kerjasama dalam pelaburan strategik, pembangunan infrastruktur serantau, bandar pintar dan inovasi teknologi hijau,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, dijadual mengadakan pertemuan peringkat tertinggi dengan Naib Perdana Menteri China, LiuGuozhong, yang menyelia Kementerian Sumber Air.
“Pertemuan ini akan memberi tumpuan kepada kerjasama strategik dalam pengurusan air, termasuk pertukaran teknologi, pembangunan kapasiti dan inisiatif lestari yang mampu memberi impak jangka panjang kepada kedua-dua negara,” katanya.
Lawatan turut merangkumi Beijing dan Chongqing, dengan tumpuan terhadap tenaga boleh baharu, sistem storan tenaga, teknologi nuklear generasi baharu, serta pendekatan pengurusan air inovatif seperti model Sponge City untuk mitigasi banjir dan adaptasi perubahan iklim.
Ia juga memberi penekanan terhadap sistem air pulih sebagai sumber alternatif industri, pembangunan loji bawah tanah dan menjana tenaga daripada biogas.
Malaysia berhasrat memanfaatkan kepakaran dan pengalaman China dalam bidang ini bagi memperkukuh agenda nasional iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Transformasi Air 2040 (AIR 2040) untuk strategi keterjaminan air dan tenaga negara, katanya.
Sejajar dengan kedudukan China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, lawatan ini berpotensi menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor tenaga bersih, teknologi hijau, serta memperkukuh daya saing ekonomi negara.
Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, ia juga melambangkan usaha Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar dalam kerangka kerjasama ASEAN–China, serta kedudukan Malaysia
sebagai rakan strategik yang proaktif, inklusif dan berdaya tahan di peringkat serantau dan global.
