Inisiatif pencegahan Sarawak mendatangkan hasil

BALI: Penyelesaian holistik merangkumi pencegahan, rawatan, pemulihan dan pemberdayaan sosioekonomi antara inisiatif diperkenal Sarawak.

Langkah itu penting untuk menangani isu penyalahgunaan bahan terlarang (dadah).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif Sarawak mendatangkan hasil memberangsangkan termasuk peningkatan kesedaran untuk mendapatkan bantuan sukarela, pengurangan kadar pengulangan kesalahan dan penglibatan akar umbi dalam usaha pencegahan dan pemulihan.

Penguatkuasaan semata-mata tidak mampu membendung gangguan penggunaan bahan (SUD), sebaliknya memerlukan pendekatan bersepadu yang menggabungkan aspek kesihatan, sokongan sosial serta pemulihan jangka panjang, katanya semasa membentangkan isu penyalahgunaan bahan pada Persidangan Serantau ISSUP 2025 di sini.

Persidangan bertemakan ‘Pioneering Addiction Science for Global Impact: Innovate, Integrate and Sustain”.

Menurut Fatimah, model One Stop Committee (OSC) Sarawak yang dipacu oleh komuniti dan disokong oleh inisiatif seperti Pusat Pembangunan dan Intervensi Komuniti (CDIC), Sistem Pengurusan Kes Isu Sosial Bersepadu (ISICMS) dan Program Pemberdayaan Keluarga Berpendapatan Rendah (LIFE) membuahkan hasil.