LONDON: Persiapan Sarawak sebagai tuan rumah Kongres dan Pameran Air Sedunia (WWCE) 2028 terus diperkukuhkan melalui sesi libat urus bersama Jawatankuasa Penganjur WWCE 2026 di Glasgow.
Sesi libat urut tersebut diadakan selepas penutupan rasmi Persidangan Water Horizon 2025 di London semalam dengan delegasi Kerajaan Sarawak diketuai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
Ia memfokuskan kepada perkongsian pengalaman, strategi perancangan, keperluan logistik dan pengurusan teknikal bagi acara bertaraf dunia yang dikelolakan oleh International Water Association (IWA).
Menurut Julaihi, sesi perbincangan itu memberi peluang kepada Sarawak untuk memahami secara lebih mendalam proses penganjuran acara bertaraf dunia itu, sekali gus membolehkan perancangan rapi bagi edisi WWCE 2028 yang bakal diadakan di Kuching.
“Kami mengambil peluang ini untuk berbincang secara mendalam dengan jawatankuasa yang sedang dalam fasa persiapan WWCE 2026 di Glasgow.
“Melalui sesi ini, kami mendapat gambaran dari sudut strategi, keperluan logistik serta cabaran yang mungkin dihadapi,” katanya ketika ditemubual selepas sesi tersebut di sini semalam waktu tempatan.
Tegas beliau, pendedahan awal ini penting bagi memastikan Sarawak bersedia sepenuhnya, bukan sahaja sebagai tuan rumah, tetapi juga sebagai penyumbang utama kepada matlamat global dalam pengurusan sumber air dan pembangunan mampan.
Sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh, Julaihi menjelaskan bahawa pihak IWA telah menjemput wakil Malaysia, khususnya dari Sarawak, untuk terlibat secara langsung dalam proses penganjuran WWCE 2026.
Penyertaan ini katanya, dianggap sebagai platform latihan praktikal yang memberi pengalaman sebenar dari segi pelaksanaan teknikal dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa.
“Ia adalah satu bentuk pendedahan penting. Kita bukan hanya belajar dari segi teori, tetapi melalui penyertaan langsung kita dapat memahami prosedur, protokol, serta cara menangani cabaran sebenar yang mungkin timbul,” jelasnya lanjut.
Dalam perbincangan sama, delegasi Sarawak juga telah berkongsi mengenai potensi logistik Bumi Kenyalang termasuk infrastruktur, kemudahan, sistem pengangkutan dan kapasiti tenaga kerja yang tersedia bagi menyokong penganjuran acara berskala global. – UKAS
