Siniawan lengkapkan laluan Sarawak Delta Geopark

BAU: Kerajaan Sarawak akan membangunkan jalan raya empat lorong dari Penrissen di Kuching menuju sini sehingga ke Sematan.

“Kita akan membangunkan jalan raya empat lorong seperti di Lebuhraya Pan Borneo untuk jalan raya Penrissen menuju ke Bau hingga ke Sematan,”menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Waterfront Siniawan di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, apabila infrastruktur jalan raya ini dinaiktaraf maka senang orang luar untuk datang ke Siniawan di sini.

Menurut beliau, Pekan Siniawan mempunyai potensi besar dengan keunikan budaya, sejarah, landksap muka bumi serta tarikan global seperti Festival Muzik Country Siniawan (SCMF) yang merupakan penganjuran muzik ‘country’ terbesar di Asia.

Di samping itu, Pekan Siniawan akan menjadi pelengkap laluan Sarawak Delta Geopark yang akan didaftarkan di bawah UNESCO Global Geopark.

“Apabila kita menjadi salah satu daripada ‘akar’ geopark ini, ia akan menjadi tarikan yang akan mengembangkan ekonomi,” katanya.

Abang Johari menambah, dengan adanya syarikat penerbangan sendiri AirBorneo kelak, Sarawak dapat menghubungkan geopark wilayah ini dengan geopark dunia yang lain seperti Pulau Jeju di Korea Selatan untuk memudahkan mereka datang ke Sarawak dan melihat sendiri keunikan geopark yang ada di sini.

FOTO: JAPEN