Regata bantu tingkatkan industri pelancongan

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus berusaha membangunkan Kampung Telaga Air dan kawasan sekitarnya, agar kawasan itu terus menjadi tarikan pelancong.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, antara usaha yang dilaksanakan ialah meningkatkan taraf kemudahan infrastruktur di kawasan ini, seperti membina jalan raya baharu ke kawasan ini.

Katanya, jalan raya yang sepanjang 4.6 kilometer (km) itu akan menghubungkan Lebuh Raya Pehin Sri Haji Adenan Satem yang dulunya di kenali dengan nama FAC ke Kampung Telaga Air dan Kampung Trombol.

Menurutnya, dengan jalan raya baharu itu ia akan mengurangkan berlakunya kesesakan di Kampung Telaga Air terutama pada hujung minggu.

“Acara regata yang telah beberapa kali diadakan di Kampung Telaga Air banyak membantu meningkatkan pembangunan industri pelancongan di kawasan ini.

“Malah, acara sukan ini juga mampu membantu meningkatkan ekonomi penduduk apabila ramai pengunjung yang datang ke sini membeli makanan dan minuman.

“Selain itu, pengunjung yang datang daripada pelbagai pelosok negara termasuk pelancong asing juga berminat untuk menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Regata Telaga Air di Esplanade Kampung Telaga Air, di sini, hari ini.

Pesta Regata Telaga Air yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu akan berakhir Ahad ini (28 Sept 2025 dikelolakan bersama Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Telaga Air serta didukung oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Sarawak, Pusat Khidmat ADUN N.4 Pantai Damai dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen P. 193 Santubong.

Turut hadir ialah Pengerusi MPP, Kr Tan Kai dan timbalannya Kr Mahmud Dato Sri Ibrahim yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta Regata Telaga Air serta Pemangku Setiausaha Perbandaran Ir Ts Goh Thiam Ho dan beberapa ketua masyarakat.