UNIMAS sediakan sokongan pada pelajar OKU

SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan terus menyediakan sistem ‘buddy’ bagi pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) di universiti itu.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, ini bagi memastikan sokongan kepada mereka terutamanya menjelang musim pendaftaran pelajar baharu.

“Kita telah menyediakan sistem tersebut yang mana seorang pelajar dari fakulti yang sama dengan pelajar OKU akan diminta bantuan untuk menemani dan menjaga pelajar OKU sepanjang sesi pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan ketika bersama Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Dr Kiky Kirina Abdillah meninjau kebajikan dan memberi sokongan moral kepada pelajar OKU, Steven Lias, di Kolej Cempaka, kampus UNIMAS, di sini, hari ini.

Ahmad Hata berkata, UNIMAS turut meningkatkan kemudahan kediaman bagi pelajar OKU yang merangkumi penyediaan ruangan dan pintu bilik yang mudah dicapai, serta laluan jalan yang lancar dan mudah ke fakulti masing-masing.

“Malah, kita menyediakan kolej Cempaka, untuk penempatan pelajar-pelajar OKU yang menyambung pengajian mereka,” tambahnya.