NREB Sarawak bakal distruktur sebagai badan korporat strategik

KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dijangka melalui satu fasa transformasi penting apabila kerajaan negeri merancang menjadikannya sebagai badan korporat strategik yang lebih dinamik dan berdaya saing.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu diambil bagi memastikan NREB berupaya memainkan peranan lebih besar dalam melindungi dan memulihara alam sekitar secara mampan.

Menurutnya, melalui pendekatan korporat, NREB akan diberi kuasa dan autonomi lebih luas untuk menguruskan tanggungjawabnya dengan lebih efisien dan berorientasikan hasil.

“Apabila NREB mampu menjana pendapatan sendiri, agensi ini bukan sahaja dapat menampung operasinya tetapi juga menyumbang kembali kepada kerajaan negeri,” katanya pada Malam Anugerah Kecemerlangan dan Perkhidmatan NREB di sini malam tadi.

Beliau berkata, model baharu itu turut membolehkan NREB melaksanakan skim perkhidmatan tersendiri yang lebih fleksibel, berbanding sistem sedia ada dalam perkhidmatan awam.

Perubahan ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan agensi yang lebih tangkas, inovatif dan mampu menyesuaikan diri dengan cabaran semasa dalam pengurusan sumber asli, katanya.

“Melalui penstrukturan semula ini, NREB akan menjadi entiti yang bukan sahaja memantau pemuliharaan alam sekitar, tetapi turut menjadi peneraju dalam usaha menjadikan Sarawak negeri hijau menjelang 2030,” ujarnya.

Sementara itu, Premier menjelaskan, undang-undang baharu berkaitan pengumpulan sisa secara wajib akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang.

Oleh itu katanya, Sarawak terus mengemaskini undang-undang yang ada untuk memberikan kuasa kepada NREB menguruskan sisa-sisa di negeri ini setelah Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi kuasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta tetamu kenamaan lain.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta tetamu kenamaan lain.