Projek bina pusat kanser Sarawak sedang dinilai – Dr Sim

KUCHING: Impian Sarawak memiliki hospital khusus bagi rawatan penyakit kanser bakal terlaksana apabila projek mega itu sedang dinilai di peringkat akhir sebelum dimulakan.

Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, projek pembinaan pusat tersebut kini berada pada peringkat makmal penilaian nilai sebelum pelantikan perunding oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Sarawak bersetuju menyalurkan dana permulaan bagi memastikan pelaksanaannya tidak tertangguh, meskipun ia masih dikategorikan sebagai projek di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan menyediakan dana awal untuk mempercepatkan proses ini, namun pelaksanaannya tetap diuruskan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian selepas menghadiri Majlis Persidangan Blockchain Borneo di Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.

Dr Sim menjelaskan, sebaik proses penilaian selesai, Kerajaan Persekutuan akan melantik perunding bagi meneruskan fasa seterusnya sebelum projek dimulakan secara rasmi.

“Sebaik laporan penuh diterima, saya akan memaklumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Walaupun dana awal datang daripada Sarawak, yang penting ialah negeri ini akhirnya memiliki hospital kanser sendiri,” jelasnya.

Katanya lagi makmal penilaian nilai merupakan prosedur standard bagi memastikan projek dilaksanakan dengan kos, reka bentuk dan keberkesanan terbaik.

Penilaian ini melibatkan pakar, ahli ekonomi serta kementerian berkaitan bagi menilai keberkesanan kos dan kesesuaian teknikal.

Katanya, Sarawak mencadangkan kapasiti 300 katil, namun kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) masih diperlukan kerana mereka akan menanggung kos operasi selepas hospital siap nanti.