KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengambil langkah segera sekiranya prasekolah di negeri ini dikesan terjejas akibat penularan Influenza A, termasuk menutup sementara institusi terbabit atau memperketatkan prosedur operasi standard (SOP).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima mengenai sebarang penularan di prasekolah di Sarawak, namun langkah pencegahan tetap dilaksanakan.
“Biasanya, KKM akan memaklumkan kepada kami sekiranya berlaku kes.
“Berdasarkan maklumat itu, kita akan menentukan tindakan yang sesuai sama ada penutupan sementara atau penguatkuasaan SOP yang ketat,” katanya selepas menyempurnakan Program Demi Rakyat Zon Selatan 2025 SCHB anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini, hari ini.
Fatimah menjelaskan, kementeriannya akan merujuk kepada KKM untuk mengesahkan laporan mengenai penularan wabak di sebuah prasekolah di kawasan Sadong Jaya sebelum sebarang tindakan diambil.
Sementara itu, Fatimah mengingatkan masyarakat
agar segera melaporkan kes penderaan khususnya melibatkan kanak-kanak kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kes penderaan seorang kanak-kanak yang berlaku di kawasan ini, baru-baru ini.
Katanya, kes tersebut masih dalam siasatan polis.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menegaskan masyarakat tidak boleh bersikap ‘tidak mahu campur tangan’ apabila melihat atau mengesyaki berlaku penderaan di sekeliling mereka.
“Ini bukan soal masuk campur urusan rumah tangga orang. Dalam undang-undang, ada konsep ‘duty of care’.
“Jika jiran-jiran tahu berlaku penderaan tetapi tidak melaporkan, mereka juga harus bertanggungjawab secara moral kerana gagal menjalankan tanggungjawab kemanusiaan,” tegasnya.