Istiadat pengurniaan Bintang, Darjah Kebesaran Negeri Sarawak

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof mendahului senarai 42 penerima Bintang dan Darjah Kebesaran Negeri daripada TYT Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada satu istiadat pengurniaan di Astana Negeri di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) yang membawa gelaran Datuk Amar.

Ini, disusuli Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (FCCS) Dato Richard Wee Liang Chiat, yang menerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S) yang membawa gelaran Dato Sri.

Lima lagi individu menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai & Laut) Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II Dato Majang Renggi dan Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Datu Ik Pahon Joyik.

Seramai sembilan individu menerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu, iaitu Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Adana Jed, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr Cassidy Morris, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak Awang Mohamad Fadillah Awang Redzuan, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, Pengarah Unit Pengurusan Dan Pembangunan Sumber Manusia Sharifah Rohana Datu Wan Alwi, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak Zainal Abidin Abdullah, Pengurus Besar SALCRA Joseph Blandoi dan Huong Siu Hung.

Manakala, 25 lagi individu dianugerahkan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S) yang membawa gelaran Dato, antaranya, isteri Setiausaha Kerajaan Sarawak Datin Amar Baduyah Bujang, Datin Sri Angelina Celestine Ujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh, ADUN Meluan Rolland Duat Jubin, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab dan Setiausaha Sulit Kepada Premier Sarawak Ahmad Hazlan Ismawi.

Istiadat yang penuh adat itu turut disaksikan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Datuk Abang Openg bersama anak beliau Dayang Norjihan, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta barisan kabinet negeri.

Istiadat pengurniaan Bintang dan Darjah Kebesaran itu sempena menyambut Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-79 Tuan Yang Terutama Yang d-Pertua Negeri.