Jambatan Sungai Paku dibuka

SPAOH: Pembukaan Jambatan Sungai Paku hari ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur di Daerah Kecil Spaoh.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan itu dijangka memperkukuh jaringan perhubungan dan mobiliti penduduk serta merangsang pertumbuhan ekonomi dan pelancongan.

Katanya, jambatan baharu itu berjaya menyelesaikan masalah sistem “berhenti dan beri laluan” di jambatan lama yang sebelum ini menjadi kekangan kepada pengguna jalan.

“Dengan pembukaan jambatan tersebut, aliran trafik kini menjadi lebih lancar sekali gus meningkatkan kecekapan rangkaian jalan raya di kawasan berkenaan,” katanya selepas Majlis Pembukaan Jambatan Sungai Paku kepada Lalu Lintas di sini hari ini.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, berkata projek bernilai RM36.9 juta itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan aktiviti perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Beliau menjelaskan, jambatan lama akan dinaik taraf sebagai laluan pejalan kaki, manakala pembangunan kawasan tebingan sungai akan dilaksanakan bagi menyediakan ruang rekreasi kepada penduduk.

Projek yang dilaksanakan oleh D.A.L Keluarga Sdn Bhd itu merangkumi pembinaan jambatan gerbang keluli satu bentang sepanjang 100 meter, pelebaran jalan pendekat, pembinaan tembok perlindungan tebing sungai, naik taraf jambatan lama sebagai laluan pejalan kaki, selain kerja pemindahan utiliti dan pemasangan sistem elektrik.

Jambatan itu dijangka memberi manfaat kepada pengguna Jalan Tanjung Sebekut termasuk penduduk Spaoh, Betong, Debak, Pusa dan kawasan sekitarnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris serta Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas.