SPAOH: Program Borneo Interwoven: Jalinan Borneo 2026 bukan sekadar perhimpunan kraf, malah menjadi wadah strategik memperkasakan wanita dan memelihara warisan budaya negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, tekstil Sarawak dan Sabah terbukti mampu menjadi sumber kekuatan ekonomi baharu.
Menurut beliau, usaha memartabatkan seni tradisional ini penting bagi memastikan khazanah Borneo terus terpelihara sambil memberi manfaat kepada komuniti artisan.
”KPWKM menerusi Jabatan Pembangunan Wanita sentiasa komited memperkukuh peranan wanita melalui pelbagai program kepimpinan,” katanya dalam ucapan aluan penutupan program itu di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku, hari ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan penutupan program. Hadir sama, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu.
Nancy menjelaskan, inisiatif ini bertujuan melahirkan lebih ramai wanita berkeyakinan tinggi untuk menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Rekod menunjukkan PERANTIS mencatatkan kejayaan cemerlang apabila membimbing 1,247 peserta menerusi 25 tokoh wanita pada 2024.
“Bagi meluaskan impaknya, kerajaan memperuntukkan RM5 juta pada 2025 dengan sasaran melatih lebih 4,000 peserta di seluruh negara.
“Komitmen tersebut diteruskan lagi bagi tahun 2026 dengan peruntukan RM4 juta demi memastikan kesinambungan pembangunan kepimpinan wanita,” katanya.
Mengulas mengenai Borneo Interwoven, Nancy menyifatkannya sebagai platform terbaik pertukaran ilmu tekstil, tenunan dan pewarna semula jadi serantau.
