BRUNEI: Nilai perdagangan dua hala antara Sarawak dan Brunei mencecah RM1.89 bilion pada 2025, sekali gus mencerminkan potensi besar untuk terus dipacu menerusi kerjasama perdagangan, pelaburan dan pelancongan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menyifatkan program itu sebagai platform yang menghubungkan usahawan, komuniti dan institusi dari kedua-dua wilayah bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi.
“Brunei merupakan antara rakan paling penting bagi Sarawak dari segi perdagangan dan pelancongan.
“Pada tahun 2025, nilai perdagangan dua hala mencecah RM1.89 bilion, sekali gus menunjukkan potensi besar yang masih boleh dibangunkan bersama,” katanya ketika berucap pada majlis Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak–Brunei 2026 di Dewan Muhibbah Jabatan Daerah Brunei dan Muara di sini.
Sarawak turut muncul sebagai destinasi pelaburan utama negara apabila merekodkan lebih RM116 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh 2021 hingga 2025, katanya.
Ini katanya, dengan penubuhan Sarawak Trade and Tourism Office Brunei (STATOB) dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara Sarawak dan Brunei.
“Kita perlu memperkukuhkan kolaborasi dalam meneroka ekonomi baharu termasuk pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, industri berteknologi tinggi serta pembangunan koridor pertumbuhan rentas sempadan,” ujarnya.
Beliau berkata, penyertaan Program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak–Brunei tahun ini turut melonjak kepada 116 usahawan, berbanding 39 peserta pada tahun lalu, membabitkan 50 peserta dari Sarawak dan 66 dari Brunei termasuk peserta Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P).
Awang Tengah berkata, kerjasama strategik turut diterjemahkan menerusi pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA), termasuk dalam bidang logistik, pemprosesan makanan, teknologi digital serta pengedaran produk, yang diyakini mampu membuka lebih banyak peluang perniagaan di rantau BIMP-EAGA dan ASEAN.
Beliau sehubungan itu yakin hubungan Sarawak dan Brunei akan terus menghasilkan manfaat kepada usahawan, pelabur serta rakyat kedua-dua pihak.
