MUKAH: Pendekatan turun padang menerusi Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS) menjadi jambatan mempereratkan hubungan antara institusi agama, agensi kerajaan dan masyarakat dalam membentuk ummah maju, makmur dan sejahtera.
Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awg Suhaili Ledi berkata, pendekatan itu berjaya mendekatkan institusi agama dan agensi perkhidmatan kepada masyarakat melalui pelaksanaan dakwah, pendidikan, kebajikan serta pembangunan ummah.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Tahun 1448H/2026M Zon Tengah II – Mukah dan Kapit di Dataran Pehin Setia Raja, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib.
Menurut Awg Suhaili, tema “Ummah Maju Makmur” membawa maksud bahawa kemajuan ummah bukan sahaja diukur melalui pembangunan fizikal dan ekonomi, malah turut bergantung kepada kekuatan ilmu, akhlak, institusi keluarga, kesihatan serta perpaduan masyarakat.
“Ummah maju ialah masyarakat berilmu, berkemahiran dan mampu menghadapi perubahan zaman, manakala ummah yang makmur ialah masyarakat yang hidup aman, saling menghormati serta prihatin terhadap golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Pelbagai pengisian termasuk Pesan Mufti, Bicara Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, pameran serta kaunter perkhidmatan agensi Islam, Mini Education Fair, program STEM-TRIZ, forum kekeluargaan, aktiviti kesihatan dan pembangunan wanita diadakan.
