Pelajar sekolah Daro sertai Ekspo FTES Yayasan Sarawak

DARO: Pelajar dari empat sekolah menengah menyertai Ekspo Pendidikan Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) Yayasan Sarawak Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Daro, di sini, hari ini.

Mereka terdiri daripada pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah Daro, SMK Matu, SMK Semop dan SMK Belawai.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menghadiri ekspo itu yang merupakan usaha Kerajaan Sarawak untuk memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada anak-anak Sarawak melalui inisiatif FTES.

Pelbagai agensi dan institusi pendidikan tinggi membuka reruai pameran bagi memberi pendedahan peluang melanjutkan pengajian kepada pelajar terbabit.

Antaranya Swinburne University of Technology, Curtin University Malaysia, i-CATS University College, Kolej Laila Taib, Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) dan Yayasan Sarawak.

Ekspo turut menyaksikan penyampaian Sijil Hadiah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, Timbalan PPD Daro, Ayub Hashim , Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos, dan wakil Yayasan Sarawak, Zulfiqqar Fadhzely Randy.