KUCHING: Sarawak merancang memperkenalkan pakej perjalanan yang menggabungkan tiket penerbangan AirBorneo dan tambang Sistem Transit Aliran Bebas Automatik (ART) dalam satu pembelian bagi memudahkan pelancong bergerak terus dari lapangan terbang ke hotel.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu adalah antara strategi menjadikan Kuching sebuah bandar raya moden yang menawarkan sistem mobiliti pintar, selamat dan mesra pengguna menerusi pelaksanaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
“Kerajaan Sarawak melaksanakan KUTS bukan sekadar membina rangkaian pengangkutan awam moden, tetapi mengubah cara masyarakat bergerak di Greater Kuching melalui sistem yang selamat, cekap, boleh dipercayai dan mesra alam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Hak Penamaan Stesen SM07 bagi KUTS antara Sarawak Metro Sdn Bhd dan Ibraco Berhad, di sini, hari ini.
Menurut beliau, KUTS turut direka bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, pelepasan karbon serta meningkatkan hubungan antara kawasan bandar, sekali gus menyokong pembangunan bandar yang lebih mampan.
Premier Sarawak berkata, seperti bandar-bandar utama dunia, kelangsungan sistem pengangkutan awam tidak hanya bergantung kepada kutipan tambang, sebaliknya turut dijana melalui hak penamaan stesen, ruang niaga, pengiklanan dan pembangunan berorientasikan transit (TOD), manakala kerajaan akan terus menyalurkan subsidi demi kepentingan rakyat.
Beliau turut memaklumkan ART berkuasa hidrogen akan menawarkan perjalanan yang lebih senyap tanpa pelepasan asap, selain dilengkapi sistem pembayaran tanpa tunai menggunakan kod QR serta kamera keselamatan pintar yang membolehkan ibu bapa memantau perjalanan anak-anak menerusi telefon pintar.
“Ramai yang mengkritik keputusan menggunakan hidrogen sebelum ini, namun hari ini dunia melihatnya sebagai tenaga alternatif rendah karbon.
“Saya telah dijemput berkongsi pengalaman Sarawak di Poland, Perancis, Indonesia dan Thailand, sekali gus membuktikan kita berada di landasan yang betul,” tambahnya.
Abang Johari berkata, pembangunan loji pengeluaran hidrogen di Depot Rembus kini berjalan mengikut jadual dan bakal membekalkan tenaga kepada ART, seiring penurunan kos pengeluaran hidrogen hasil kemajuan teknologi baharu.
Menurutnya, kerajaan juga merancang menyelaraskan identiti visual ART dengan AirBorneo supaya pelancong dapat menikmati pakej perjalanan bersepadu yang merangkumi penerbangan, perjalanan ART dari lapangan terbang ke hotel serta akses mudah ke destinasi tumpuan seperti NorthBank, Vivacity Megamall dan The Spring.
Beliau yakin pendekatan itu mampu meletakkan Kuching sebagai bandar raya moden yang menjadi pilihan pelancong, selaras dengan usaha Sarawak membina ekosistem pengangkutan pintar, tenaga hijau dan modal insan berkemahiran tinggi menerusi pendidikan tinggi percuma serta penguasaan teknologi digital.
