BETONG: Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan Parti PBB Zon Betong kekal berdiri teguh di belakang kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi meneruskan agenda pembangunan serta mempertahankan hak-hak Sarawak.
Beliau berkata, kepimpinan Abang Johari membawa perubahan besar kepada negeri ini melalui pelaksanaan pelbagai dasar strategik.
Selain itu, projek pembangunan berskala besar dan kejayaan memperkukuh kedudukan Sarawak di peringkat nasional serta antarabangsa.
“Kejayaan itu membuktikan bahawa kepimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sekadar retorik politik, sebaliknya menunaikan setiap janji yang dibuat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Konvensyen Khas Parti PBB Zon Betong 2026 yang dirasmikan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Sukan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan di sini, hari ini.
Uggah yang juga Timbalan Premier turut merakamkan penghargaan kepada ahli jawatankuasa penganjur yang bertungkus-lumus menjayakan Konvensyen Khas Parti PBB Zon Betong hari ini.
Beliau menyifatkan komitmen mereka sebagai faktor utama kejayaan penganjuran majlis tersebut.
Beliau berkata, konvensyen itu dimulakan dengan pembentangan mengenai Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang menurutnya menjadi asas penting dalam memperjuangkan hak Sarawak dan memacu kemajuan negeri.
Katanya, di bawah pentadbiran Abang Johari, Zon Betong menerima pelbagai projek pembangunan termasuk Betong STOLport, Bebuling Agro Park, Lubok Tamang Agro Park, Projek Benteng Laut Sebuyau, jalan ladang sepanjang 198.7 kilometer (km), Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling serta beberapa projek jalan raya utama.
Selain itu, beliau berkata pembinaan lapan jambatan utama termasuk Jambatan Batang Lupar 1 dan 2, Jambatan Batang Saribas 1 dan 2, Jambatan Lingga, Jambatan Sungai Paku, Jambatan Krian dan Jambatan Batang Layar menjadi bukti komitmen kerajaan meningkatkan jaringan perhubungan di luar bandar.
Menurutnya, Sarawak kini berada pada landasan pembangunan yang kukuh dengan peningkatan pelaburan, pembangunan infrastruktur, pengembangan ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, kecerdasan buatan serta pemilikan aset strategik seperti Bank Sarawak, Pelabuhan Bintulu dan syarikat penerbangan AirBorneo.
Beliau berkata, segala pencapaian itu hanya dapat direalisasikan melalui kepimpinan yang berani membuat keputusan demi kepentingan jangka panjang rakyat dan negeri.
Sehubungan itu, Uggah menggesa seluruh ahli Parti PBB mempertahankan kepimpinan Abang Johari dengan penuh kesetiaan serta memperkukuhkan perpaduan dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata, Parti PBB Zon Betong berikrar bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan GPS mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di zon berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan parti.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan ahli supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan pembangkang yang didakwa terus memainkan isu perkauman dan tanah adat bagi mengelirukan rakyat.
Uggah menegaskan dakwaan bahawa Kerajaan GPS mengabaikan masyarakat Dayak adalah tidak berasas kerana pelbagai dasar dan inisiatif dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Beliau berkata, antaranya ialah penubuhan 10 agensi pembangunan wilayah, peruntukan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) serta bantuan kepada pelbagai pertubuhan masyarakat Dayak.
Menurutnya, kerajaan juga mengambil langkah berani meminda Kanun Tanah Sarawak bagi memberikan pengiktirafan undang-undang terhadap kawasan Pemakai Menoa dan Pulau Galau menerusi Seksyen 6A, sekali gus memperkukuh hak pemilikan tanah adat.
Beliau berkata, Kerajaan GPS turut mempercepatkan kerja penyukatan tanah NCR dan pengeluaran hak milik tanah secara percuma, dengan lebih 1.24 juta hektar tanah telah disukat dan 967,743 hektar diwartakan di bawah Seksyen 6 sehingga tahun ini.
Uggah menegaskan perjuangan PBB membawa hasil nyata kepada rakyat menerusi pembangunan, pengukuhan hak Sarawak serta peningkatan kesejahteraan masyarakat, selaras tema Konvensyen Khas PBB iaitu “Jaga Sarawak, Intu Sarawak”.
